Tiket aksi terakhir ACLE antara JDT dan Vissel Kobe mendapat sambutan hangat dalam kalangan penyokong.
Ini berdasarkan kemas kini jualan tiket perlawanan yang diumumkan Johor Darul Ta’zim (JDT) di platform rasmi mereka pada Isnin.
Menurut JDT, tiket telah habis dijual sepenuhnya pada Isnin dan kelab mengucapkan terima kasih atas sokongan bagi aksi ini.
“Tiket untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elite antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Vissel Kobe pada 17 Februari 2026 sudah habis dijual secara dalam talian.”
“Terima kasih kepada semua penyokong yang menunjukkan sokongan luar biasa untuk perlawanan ini. Luaskan Kuasamu Johor,” kata JDT dalam satu kenyataan di laman media sosial.
Pertembungan ini menerima sambutan hangat apabila Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT) memikul misi wajib meraih kemenangan bagi memastikan Harimau Selatan mara ke pusingan 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini tanpa perlu bergantung kepada keputusan perlawanan lain.
Perlawanan terakhir ACLE yang menemukan JDT dengan Vissel Kobe dijadualkan berlangsung pada Selasa, pukul 8.15 malam di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.