Walaupun tidak diturunkan pada aksi Piala Malaysia menentang Perak FC tempoh hari, namun penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Ifwat Akmal Chek Kassim tetap memainkan peranan beliau yang tersendiri.
Selepas tamat perlawanan, Ifwat dilihat meluru ke arah penjaga gol Kedah, Kalamullah Al-Hafiz yang tertunduk dan kelihatan sugul. Kalamullah menjadi mangsa kecaman sesetengah penyokong yang mengkritik kesilapan yang dilakukan Kalamullah sehingga terhasilnya gol Perak.
Video menyentuh hati itu telah tular di laman Tiktok dipercayai telah dimuatnaik oleh isteri kepada Kalamullah, Haryanie Taj. Haryanie juga menitipkan kata-kata semangat buat suaminya yang tersayang itu.
Tinjauan di ruangan komen memperlihatkan ramai penyokong telah memuji tindakan Ifwat itu selain memberi semangat kepada Kalamullah untuk bangkit semula pada perlawanan mendatang. Semangat setia kawan yang ditunjukkan Ifwat itu wajar dicontohi.

Dengan tersingkirnya Kedah dari saingan Piala Malaysia, pasukan yang digelar ‘Sang Kenari’ itu bakal bersaing di Piala Cabaran MFL dan bakal bertemu Kuching City FC.