Advertisement
TMJ Beri Dua Cadangan Bangunkan Bakat Muda Malaysia
Liga Super
MakanBola
HRH Crown Prince of Johor

Semua sedia maklum skuad B-22 negara gagal layak ke peringkat akhir Sukan SEA 2023 seperti yang disasarkan. Kegagalan ini turut mendedahkan kepincangan program pembangunan muda negara – sesuatu yang mahu diatasi oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Dalam Sukan SEA 2023, ramai dapat melihat jurang perbezaan antara pemain negara dengan pemain-pemain dari negara lain termasuk Vietnam dan Thailand. Walaupun mengambil beberapa tonggak pasukan Liga Super seperti Azam Azmi Murad (Terengganu) dan Mukhairi Ajmal (Selangor), itu masih gagal membantu Harimau Muda menewaskan Vietnam dan Thailand dalam Kumpulan B.

Atas sebab itulah, Tunku Ismail berpandangan pertandingan peringkat belia yang kompetitif perlu diadakan bagi semua peringkat umur termasuk pasukan B-17 hingga B-12. Ini kerana pertandingan sebegini mampu memberi pendedahan berkualiti kepada pemain-pemain bila beraksi di atas padang.

Selain itu, baginda juga percaya pemain-pemain ini bukan saja perlu diberi latihan oleh jurulatih berkualiti. Malah, mereka juga perlu berlatih dalam kemudahan yang berkualiti bagi membolehkan bakat mereka dapat diasah dan ditambahbaik.

“Pertandingan dan pembangunan skuad remaja yang kompetitif oleh semua kelab dari umur B-12 hingga B-17. Kedua, kemudahan dan jurulatih pembangunan remaja yang berkualiti.

“Saya jamin anda akan dapat melihat hasilnya dalam setiap aspek. Buat masa ini, pembangunan skuad remaja JDT pun susah kerana FAM tiada pertandingan rasmi. Kami terpaksa sertai pertandingan tidak rasmi yang dianjurkan oleh penganjur bebas,” komen baginda dalam satu hantaran di Instagram.

Komen baginda ini mengulangi apa yang dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards berkenaan perkara sama beberapa minggu lepas.