Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM TMJ menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencemarkan taraf Liga Malaysia.
Baginda dalam satu kenyataan di laman sosial memberitahu bahawa Stadium Sultan Ibrahim (SSI) merupakan satu-satunya stadium yang tidak berlopak ketika dilanda hujan.
“Bukan SNBJ Sahaja (berlopak). Semua stadium dalam negara sama, berlopak ketika hujan. Yang tidak berlopak adalah SSI di Johor. Itu adalah fakta.”
DYAM TMJ juga memberitahu bahawa campuran antara tanah liat dan tanah gambut pada setiap rumput lembu menyebabkan air sukar untuk diresap.
Malaysia juga dikatakan masih lagi tidak mengambil tindakan yang sewajarnya apabila sebahagian besar kelab masih memilih untuk kekal menggunakan rumput lembu.
“Kita masih satu-satunya negara Asia Tenggara yang masih sanjung rumput lembu.”
“Fasiliti dan infra bola sepak teruk. Mentaliti bodoh sombong, sentiasa ada alasan untuk jatuhkan standard liga kita,” ujar DYAM TMJ di laman Insta story.
Baginda juga waspada dengan peningkatan kualiti liga yang ditunjukkan oleh Thailand dan Indonesia sambil tidak mustahil Vietnam, Kemboja dan Filipina akan memintas Malaysia.
“Kalau mentaliti tidak berubah, negara lain seperti Vietnam, Kemboja dan Filipina akan pintas kita dari segi infra bola sepak yang memainkan peranan penting dalam melahirkan kualiti dan standard liga. Semoga berjaya.”