Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa gaji pemain JDT dibayar oleh kontraktor.
Menurut satu kenyataan di laman Twitter Baginda, TMJ ada memberi respon kepada seorang penyokong yang ingin tahu berkenaan ulasan bahawa terdapat sesetengah kelab yang memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri sepanjang Ramadan.
Malah, individu ini turut bertanyakan pandangan Tunku Ismail berkenaan dengan kenyataan bahawa gaji pemain JDT dibayar oleh kontraktor.
TMJ bagaimanapun tampil memberi jawapan tersendiri mengenai isu ini dengan jawapan yang tersendiri.
“Alhamdulillah, saya memang dah lama mengalu-alukan soalan seperti ini. Yang pertama saya tak rasa apa-apa kerana selama 11 tahun dalam industri bola sepak tiada perkara yang baik pun dikatakan tentang JDT. Kami di JDT dah biasa dengan perkara-perkara sebegini.”
“Berkenaan dengan tuduhan yang mengatakan “kontraktor yang bayar gaji pemain-pemain”. Saya menyeru pihak SPRM atau mana-mana pemilik kelab bola sepak yang berminat, boleh datang sendiri periksa & audit kewangan JDT termasuk sumber-sumber pendapatan dan perbelanjaan.”
TMJ menjelaskan bahawa pendapatan JDT datang hasil daripada pelbagai sumber tajaan kepada pasukan dan kewangannya bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.
“Duit JDT datang daripada tajaan serta duit saya dan DYMM Sultan Johor sendiri. Ini bukan duit dari Menteri Besar atau duit kerajaan. Bagaimana pula dengan kelab anda?,” jelas Baginda.
Ini sekaligus memberi jawapan kepada semua pihak berkenaan dengan isu-isu yang timbul mengenai pendapatan di JDT.