Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mengakui tidak menyangka bahawa JDT mampu beraksi sebegitu bagus dalam saingan Liga Super musim ini.
Baginda dalam satu kenyataan oleh Johor Southern Tigers menjelaskan bahawa antara salah satu faktor yang memberi kesan kepada musim baik JDT adalah disebabkan latihan pra-musim berkualiti.
Katanya, perlawanan bertemu dengan pasukan yang lebih kuat telah membantu Harimau Selatan untuk lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam setiap aksi.
“Alhamdulillah saya bersyukur tetapi tidaklah berpuas hati sangat kerana masih banyak aspek yang perlu diperbaiki. Cuma saya rasa perancangan bersama jurulatih dan pemain yanh ada untuk ke Dubai adalah keputusan yang tepat.”
“Perlawanan menentang pasukan yang lebih baik dari JDT adalah keputusan yang baik da tepat. Persiapan adalah kunci kejayaan.”
Namun begitu, Baginda akui tidak menyangka bahawa JDT akan berjaya menjaringkan 30 gol dalam hanya 7 aksi Liga Super.
“Saya tak sangka yang JDT akan skor 30 gol dalam 7 perlawanan dan menang 7 perlawanan.”
“Selalunya lepas pra-musim pasukan akan ada terkesan disebabkan intensiti yang cukup tinggi tetapi para pemain menyesuaikan diri dengan baik,” jelas Baginda.
JDT akan meneruskan momentum apabila dijadualkan bertemu dengan Kedah Darul Aman di laman sendiri hujung minggu ini.