Advertisements
TMJ Terima Penghargaan Tertinggi Presiden AFC
Asia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, DYAM Tunku Mahkota Ismail (TMJ).

Hal ini susulan pelantikan sebagai baginda Pemangku Sultan Johor yang telah pun diumumkan baru-baru ini.

Shaikh Salman juga yakin bahawa negeri Johor akan terus teguh dan makmur di bawah kepimpinan DYAM TMJ.

“Komitmen dan dedikasi Duli Yang Amat Mulia terhadap kesejahteraan Johor adalah sangat jelas dan benar-benar terpuji, dan kami yakin di bawah kepimpinan Duli Yang Amat Mulia, negeri Johor akan terus makmur dan maju.”

“Saya juga ingin menyatakan kekaguman saya terhadap semangat yang kami sama-sama berkongsi untuk bola sepak, satu ikatan begitu kuat yang telah menyatukan kami dalam usaha bersama untuk mempromosikan sukan yang indah ini.”

Beliau juga mengesan perubahan besar yang dilakukan oleh DYAM TMJ untuk mengangkat martabat bola sepak JDT.

“Usaha luar biasa Duli Yang Amat Mulia bukan sahaja telah menaikkan status bola sepak di negeri Johor tetapi juga telah meninggalkan kesan yang tidak dapat dilenyapkan pada landskap bola sepak Malaysia secara luas, memberi inspirasi kepada begitu ramai individu selama ini,” menurut surat dari Shaikh Salman.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli memaklumkan perlantikan tersebut menerusi satu kenyataan kepada media.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan bagi negeri dan jajahan takluk negeri Johor dengan nasihat dan persetaan Jumaah Majlis Diraja dan dengan kuasa dan kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 telah suka dan berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor.”

“Pelantikan ini hendaklah berterus selama Sultan Ibrahim menjalankan kerja-kerja Yang di-Pertuan Agong,” ujar satu kenyataan.

Sultan Ibrahim turut berkenan memberi gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan Johor hari ini.