Blog
Ezreen Abd Talip
Advertisements

“Selamatkan bolasepak Johor Tunku!..” Jeritan Penyokong Johor pada tahun 2011 di Stadium Taman Daya.

Sekumpulan kecil penyokong Johor telah menjerit ke arah TMJ, “SELAMATKAN BOLASEPAK JOHOR, TUNKU!”.

“Saya akan lakukan apa sahaja untuk kembalikan kegemilangan bolasepak Johor!” – DYAM Tunku Mahkota Johor – 4 Sept 2012

Advertisements

Seperti yang dilaporkan oleh PageHarimauSelatan.com pada 17 Januari 2019.

Jeritan segelintir penyokong Johor yang berada di Stadium Hoki Taman Daya pada ketika itu sedikit sebanyak menggerakkan satu revolusi bola sepak yang tidak dapat dijangka oleh sesiapapun.

Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim hanya memerlukan tempoh kurang 10 tahun untuk membina satu legasi kelab bola sepak paling berjaya di Malaysia selain turut dihormati di rantau Asia.

Advertisements

Ya, kurang 10 tahun dan jenama Johor Darul Ta’zim kini turut berlegar di dada akhbar dan media seluruh dunia.

Banyak usaha dan perancangan yang dilakukan oleh beliau dalam membentuk sebuah pasukan yang bukan sahaja berjaya di atas padang, namun turut mengecapi kejayaan demi kejayaan di luar padang yang tidak mampu ditandingi oleh pasukan lain setakat ini.

Kemunculan TMJ yang mengambil alih Persatuan Bola Sepak Negeri Johor pada penghujung tahun 2012 dilihat menjadi titik tolak kepada perubahan struktur bola sepak di sana. Beliau turut berkongsikan pengalaman beliau ketika turun padang melihat aksi pasukan Johor FC ketika itu yang hanya dihadiri oleh puluhan penyokong menyebabkan beliau terdetik untuk melakukan perubahan terhadap pasukan tersebut telah dikongsikan oleh laman rasmi pasukan JOHOR Southern Tigers.

Advertisements

“Saya mahu tampil untuk membawa perubahan kepada rakyat saya, jadi saya pergi menonton perlawanan liga melibatkan Johor FA di Stadium Pasir Gudang. Hampir tiada orang menonton perlawanan, dan saya terfikir sendiri, apa yang berlaku? Kerana pasukan Johor yang saya ingat sewaktu menonton perlawanan bersama keluarga dahulu mempunyai ramai penyokong.”

Berbekalkan keberanian, keinginan dan juga perubahan yang ingin dicetuskan, baginda telah memulakan usaha untuk memajukan bola sepak Johor secara menyeluruh.

Baginda juga mendengar keluhan salah seorang kenalannya yang berada dalam pengurusan bola sepak Johor yang meluahkan kekecewaan melihat gejala rasuah berleluasa dalam badan bola sepak negeri itu.

Advertisements

Antara peristiwa yang menguatkan lagi hasrat baginda Tunku untuk melakukan revolusi dalam bola sepak Johor adalah ketika baginda hadir ke stadium bagi menonton perlawanan pasukan Johor di Stadium Pasir Gudang.

“Malam itu saya menanam niat untuk mengubah nasib bolasepak Johor. Esok harinya saya mengadakan satu mesyuarat dengan PBNJ dan saya memberitahu bahawa setiap seorang daripada mereka perlu mengosongkan pejabat dan meninggalkan persatuan. Ianya memerlukan permulaan yang baru, dan saya tidak mahu individu-individu yang korup untuk merosakkan usaha tersebut.” – Jelas TMJ

Sejak daripada itu, baginda tidak lagi menoleh ke belakang. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda menyatukan semua kelab di bawah PBNJ iaitu Johor FA, Johor FC dan MP Muar di bawah satu identiti yang dikenali sebagai Johor Darul Ta’zim.

Selain itu, mereka juga telah memulakan usaha untuk menandatangani pemain-pemain berkualiti dalam liga seperti Safiq Rahim, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan juga kemunculan bintang bola sepak dunia, Daniel Guiza dan juga Pablo Aimar membuktikan bahawa perancangan mereka untuk menjadi gergasi bola sepak Malaysia sedang berlangsung.

pablo aimar Jeritan Penyokong, TMJ Tidak Hanya Diam Malah Mula Mengatur Langkah
Instagram: officialjohor

Sebuah bahagian pemasaran JDT juga telah ditubuhkan dan fokus pasukan beralih kepada usaha untuk memantapkan skuad. Penglibatan baginda menarik minat pelbagai penaja dan pelabur yang membolehkan JDT bersaing bagi menarik perhatian para pemain terbaik negara untuk datang beraksi buat pasukan tesebut.

Kini situasi telah berubah, para pemain bersaing untuk menyertai pasukan tersebut bukan sahaja kerana ingin bermain di Johor, akan tetapi dengan stabiliti, penyediaan kemudahan latihan yang berkelas dunia dan juga persaingan di pentas tertinggi bola sepak asia menjadi idaman pemain tempatan.

Permulaan JDT untuk menuai hasil bermula pada tahun 2013 apabila JDT melangkah ke pusingan akhir Piala FA sebelum tewas kepada Kelantan 1-0. Mereka menduduki tangga ketiga dalam Liga Super, dengan pasukan Lions XII menjadi juara. JDT juga menjadi juara Liga Super 2014, layak ke pusingan akhir Piala Malaysia dan juga ke separuh akhir Piala FA.

Photo: Berita Harian

Kejayaan dalam kejohanan Piala AFC juga dalam genggaman sehingga berjaya beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) merupakan kejayaan paling manis bagi baginda.

Photo: JOHOR Southern Tigers

Sehingga kini, pencapaian JDT boleh dilabel sebagai luar biasa buat sebuah kelab dari Malaysia. Baru-baru ini, mereka telah ditabalkan sebagai juara Liga Super buat musim kelapan berturut-turut.

Malah, rekod tersebut merupakan pencapaian terbaik yang dilakukan oleh sesebuah kelab di Malaysia dan juga Asia Tenggara. Ini sekaligus telah mengatasi pencabar terdekat, Selangor FC yang berjaya menenangi liga sebanyak tujuh kali.

Bukan itu sahaja, sepanjang penglibatan baginda bersama kelab, JDT telah menjulang 18 trofi dalam tempoh kurang daripada 10 tahun. Ia merupakan suatu pencapaian yang amat memberangsangkan buat pasukan tersebut.

Ini termasuklah kejuaraan Liga Super sebanyak 8 kali, Piala Sumbangsih 6 kali, Piala Malaysia sebanyak dua kali dan Piala FA sekali.

Trofi yang paling bermakna dalam sejarah penubuhan JDT adalah apabila mereka berjaya memenangi kejuaraan AFC buat kali pertama pada tahun 2015 apabila jaringan tunggal perancang tengah dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22 sudah cukup bagi memastikan skuad Harimau Selatan menundukkan juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC sekaligus menobatkan mereka sebagai juara.

Kini, JDT telah membina empayarnya yang gah berdiri di rantau Asia Tenggara malah sudah mula menembusi pasaran yang lebih besar. Kejayaan mengadakan kerjasama dengan jenama terkemuka di dunia seperti Unicef dan juga Aston Martin.

Instagram: officialjohor

Peranan Tunku Ismail amat besar dalam usaha menarik minat syarikat luar sekaligus meningkatkan penjenamaan kelab itu untuk meningkatkan nilai komersial pasukan di peringkat global.

Kerjasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu menjadikan JDT adalah satu-satunya kelab bola sepak pertama di Asia Tenggara yang mengadakan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertaraf antarabangsa.

Instagram: officialjohor

Antara beberapa faktor yang mendorong JDT berjaya menarik penjenamaan terkemuka dunia untuk melabur di Johor adalah disebabkan mereka adalah sebuah pasukan yang sentiasa memenangi kejuaraan termasuklah penampilan pasukan di pentas ACL sebagai wakil tunggal negara.

JDT juga mempunyai profil pemain yang berkualiti dan dikenali ramai sekaligus bakal membuatkan pelabur tertarik dengan melihat peluang pemasaran yang boleh dibawa oleh mereka. Perkara yang paling penting sehingga menjadikan JDT itu sendiri sebagai sebuah nama besar ialah penjenamaan yang diusahakan oleh TMJ sejak 8 tahun lalu kini mula menampakkan hasilnya.

Pada tanggal 22 Februari 2020, Sultan Ibrahim Iskandar telah merasmikan stadium baru JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim yang terletak di Iskandar Puteri. Pelbagai perasaan bercampur-baur apabila mengenangkan proses transformasi yang dilakukan sejak tahun 2013 kini sudah hampir sempurna.

Pembinaan stadium yang mencecah hampir RM 200 juta telah menjadi penanda aras baharu dalam arus pembangunan bola sepak di Malaysia dalam usaha menaikkan mutu bola sepak negara. Stadium yang dibina di atas tanah berkeluasan 28 hektar itu bakal menjadi sebahagian daripada perancangan bandar sukan JDT yang bakal menempatkan beberapa kemudahan sukan yang lain.

Kini, JDT dikhabarkan bakal membina pusat latihan yang baharu pada bulan Oktober ini yang telah menarik perhatian bintang bola sepak dunia, Lukas Podolski. Ini sekaligus bakal mengukuhkan lagi persiapan pasukan dalam usaha memberi kemudahan fasiliti bertaraf dunia kepada para pemain dalam usaha mengekalkan kejuaraan di samping bersaing secara kompetitif di peringkat Asia dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Kejayaan yang dikecapi oleh JDT pada hari ini sejajar dengan peribahasa yang berbunyi ‘Kota Rom tidak terbina dalam satu hari.’ Segala yang dimiliki oleh pasukan hasil kerja keras secara berpasukan terutamanya buah fikiran yang dibawa oleh Tunku Ismail untuk meletakkan pasukan pada kedudukan yang tertinggi. Kerja keras dan usaha yang berterusan bakal menukarkan impian menjadi kenyataan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram