Pasukan Terengganu Hockey Team (THT) terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Maybank dalam aksi separuh akhir pertama TNB Cup di Stadium Hoki Nasional 1, Bukit Jalil.
Maybank melihat perlawanan hari ini sebagai medan membalas dendam selepas tewas 4-3 kepada lawan sama dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL).
Sementara THT pula melihat Maybank sebagai halangan terakhir untuk mara ke final TNB Cup.
Suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan berhati-hati bagi mencari kelebihan awal.
Meskipun THT dan Maybank masing-masing diberi pukulan sudut penalti oleh pengadil, peluang itu gagal dimanfaatkan jentera serangan kedua-dua pasukan.
Menjelang suku kedua, THT yang dibimbing Mohd Harfizi Baharom mula meningkatkan asakan ke atas kubu pertahanan Maybank.
Hasilnya, pengadil menganugerahkan penalti stroke kepada THT. Penalti tersebut mudah disempurnakan kapten THT, Fitri Saari untuk meletakkan Maybank di hadapan pada minit ke-19.
Tersentak, Maybank yang dibimbing Azrul Affendy Bistamam berusaha mendapatkan gol penyamaan. Percubaan terbaik mereka hadir menerusi pukulan penalti pada minit ke-22.
Bagaimanapun, percubaan penalti mereka berjaya dinafikan penjaga gol skuad kebangsaan, Hafizuddin Othman. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada suku ketiga perlawanan, kedua-dua pasukan terus memberi saingan sengit bagi mendapatkan gol.
Maybank menyangka telah meraih gol penyamaan menerusi Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-34. Bagaimanapun, selepas gol tersebut disemak menerusi semakan video, gol tersebut dibatalkan.
Ini selepas rakaman video mendapati bola pemain Maybank terkena tangan Ashran Hamsani sebelum bola yang melantun itu disudahkan Kamarulzaman.
Suku keempat perlawanan menyaksikan Maybank semakin terdesak memburu gol penyamaan. Malangnya, gol yang dicari tidak muncul.
Sebaliknya, Muhammad Noor Firdaus Rosdi menyempurnakan hantaran Faizal Saari untuk menggandakan kelebihan THT pada minit ke-47.
Seminit selepas itu, serangan balas THT diketuai Faizal memastikan mereka meraih gol ketiga yang dijaringkan oleh Akhimullah Anuar Esook. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Maybank perlu menang dalam aksi separuh akhir kedua TNB Cup yang berlangsung pada Khamis ini jika ingin layak ke final.
Sementara THT pula hanya perlu mempertahankan kelebihan agregat mereka jika mahu mengesahkan kemaraan ke final.
Selain itu, THT juga berharap Abid Sufian Mar Ruslee sempat pulih untuk aksi separuh akhir kedua. Ini selepas Abid Sufian terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan.