Advertising
TNB Cup: THT & TNB Sahkan Kemaraan Ke Final
UltraSukan
MHC

Pasukan dari Pantai Timur, Terengganu Hockey Team (THT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan kemaraan ke final TNB Cup.

Ini selepas THT dan TNB berjaya mengatasi lawan masing-masing dalam aksi separuh akhir kedua yang berlangsung pada hari ini.

Ad

THT yang dibimbing Mohd Harfizi Baharom terlebih dahulu layak selepas menewaskan Maybank dalam aksi separuh akhir kedua hari ini.

Ad

Meskipun perlu mengatasi defisit tiga gol dalam aksi separuh akhir pertama, Maybank yang dibimbing Azrul Effendy Bistamam tampil garang pada awal perlawanan.

Mereka mendahului 1-0 menerusi pukulan penalti pemain kebangsaan, Razie Rahim pada minit ketiga. Bagaimanapun, keceriaan Maybank terpadam apabila Faizal Saari meledakkan gol penyamaan pada minit ke-16.

Ad

THT kemudiannya mendahului 2-1 menerusi Ismail Abu pada minit ke-28 perlawanan. Perlawanan kemudiannya terpaksa dihentikan seketika akibat hujan lebat di Stadium Hoki Nasional 1.

Ad

Sebaik perlawanan bersambung, Faizal memadamkan sisa perjuangan Maybank dengan meledakkan gol ketiga THT pada minit ke-48. THT mara ke final dengan keputusan agregat 6-1.

Ad

TNB memastikan tempat mereka ke final dengan menewaskan UiTM HA-KPT dalam satu lagi aksi separuh akhir kedua hari ini.

Azrai Aizad Abu Kamal meletakkan TNB di hadapan pada minit keempat perlawanan. TNB berusaha menggandakan kelebihan agregat tetapi kerap dihampakan penjaga gol UiTM HA-KPT, Zaimi Mat Deris.

Zul Pidaus Mizun kemudiannya menyamakan kedudukan buat UiTM HA-KPT bagi mengikat kedudukan 1-1.

TNB kembali mendahului pada minit ke-38 apabila dianugerahkan penalti stroke. Pemain import Korea Selatan, Jang Jong-hyun mudah menyempurnakan penalti stroke menewaskan Zaimi.

Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi memastikan TNB makin selesa dengan gol padang pada minit ke-40 selepas menyudahkan hantaran Norsyafiq Sumantri.

UiTM HA-KPT menyangka dapat merapatkan jurang selepas dianugerahkan penalti stroke. Malangnya, penalti stroke yang diambil Muhibuddin Moharam berjaya ditepis penjaga gol TNB, Hairi Abd Rahman.

Sebaliknya, TNB melebarkan lagi jurang agregat kepada 7-2 menerusi pukulan penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-45.

Shahril Saabah memastikan TNB layak ke final dengan keputusan agregat 8-2 menerusi gol pada minit ke-60.

Ini menjadikan aksi final TNB Cup yang berlangsung pada 9 Mac ini sebagai ulangan final musim 2023 membabitkan THT dan TNB.

Penyandang juara TNB Cup ketika ini ialah THT selepas mengatasi TNB dalam aksi final musim 2023.