Tenaga Nasional Berhad (TNB) memastikan mereka menggondol tiga trofi untuk musim 2024 dengan menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) di pentas final TNB Cup.
Final hari ini merupakan final trofi buat kali ketiga berturut-turut yang menemukan dua pasukan sama iaitu THT dan TNB.
Selepas melihat TNB merampas dua trofi daripada mereka untuk musim 2024 iaitu Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL), THT mahu mempertahankan gelaran juara TNB Cup yang dimenangi pada 2023.
Suku pertama menyaksikan TNB yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Nor Saiful Zaini berusaha mendapatkan gol awal.
Malangnya, beberapa peluang yang terhidang termasuk dua pukulan sudut penalti gagal dimanfaatkan oleh juara MHL 2024 itu.
Sebaliknya, THT pula yang membuka tirai jaringan menerusi penyerang skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari pada minit kesembilan.
Tersentak, TNB bangkit melancarkan serangan bagi mendapatkan gol penyamaan. Hasilnya, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi menyamakan kedudukan pada minit ke-19.
Keceriaan TNB tidak bertahan lama apabila Akhimullah Anuar Esook kembali meletakkan THT di hadapan pada minit ke-21.
Seminit selepas itu, pemain import Korea Selatan, Jang Jong-hyun memanfaatkan pukulan penalti bagi menyamakan kedudukan 2-2 buat TNB. Keputusan 2-2 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, TNB menggandakan serangan bagi mendapatkan gol tambahan. Kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila bekas pemain kebangsaan, Sukri Mutalib tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-33.
Beberapa minit selepas itu, penjaring terbanyak TNB, Azrai Aizad Abu Kamal menewaskan penjaga gol THT, Hafizuddin Othman untuk golnya yang ke-32 untuk musim 2024.
Dengan baki 15 minit sebelum perlawanan tamat, THT berusaha mendapatkan gol untuk merapatkan jurang dengan TNB.
Malangnya, gol yang dicari tidak muncul. Keputusan 4-2 kekal hingga tamat perlawanan. Ini menjadikan TNB Cup sebagai trofi ketiga TNB untuk tahun 2024.