Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei mengakui merasa kecewa kerana terpaksa melupakan hasrat bertanding dalam saingan BWF World Championship 2026.
Selepas mengalami kecederaan di peringkat suku akhir Singapore Open, ramai peminat badminton Malaysia mengharapkan kecederaan Olahragawati Kebangsaan 2025 itu tidak serius.
Walau bagaimanapun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Ee Wei mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL). Ini selepas imbasan resonans magnetik (MRI) mengesan koyakan separa ACL pada lutut kiri pemain berusia 25 tahun itu.
Kecederaan serius yang dialami Ee Wei menyaksikan beliau bukan saja perlu berehat panjang. Malah, beliau juga perlu melupakan banyak kejohanan penting termasuk BWF World Championship yang akan berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos ini.
Ee Wei mengakui merasa kecewa dengan apa yang berlaku. Pada masa sama, beliau tidak akan patah semangat dan fokus untuk kembali pulih sepenuhnya.
“Kalau saya cakap tak kecewa, mestilah saya kecewa. Tapi kecederaan ini selalu berlaku kepada mana-mana atlet di mana malangnya, (kecederaan itu) kena pada saya.
“Tapi tidak apa, saya akan maju ke depan dan lakukan yang terbaik (untuk kembali cergas),” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Ee Wei turut menyatakan sokongan kepada rakan gandingannya, Chen Tang Jie untuk tampil cemerlang bersama gandingan baharu, Clarissa San. Clarissa menjadi gandingan sementara Tang Jie sementara beliau menjalani proses pemulihan.
Untuk rekod, Ee Wei dan Tang Jie muncul juara dunia selepas mengungguli acara final beregu campuran BWF World Championship 2025.