Pemain pertahanan muda Middlesbrough, Cayden Cole menyatakan minat untuk menyarung jersi Malaysia pada masa hadapan.
Anak kepada legenda West Ham United, Carlton Cole itu menyatakan jawapan itu apabila ditanya oleh seorang pengguna Instagram sama ada beliau berminat menyarung jersi Harimau Malaya atau tidak.
Pengguna Instagram bernama Tacenda_NR mengajukan soalan tersebut kerana Cayden pernah menerima panggilan menyertai skuad muda Sierra Leone.
“Adakah anda berminat bermain untuk Malaysia jika FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) (berminat) mendapatkan anda?” tanyanya di ruang komen.
Lantas, pemain berusia 17 tahun itu memberi jawapan ini, “Ya, saudara.” Jawapan Cayden mendapat maklum balas positif peminat bola sepak negara.
Tangkap layar jawapan bekas bintang muda Hull City itu turut dikongsikan akaun Harimau Abroad.
Cayden bukan satu-satunya putera Cole yang menceburi dunia bola sepak. Adik Cayden, Cody beraksi untuk pasukan West Ham Bawah 15 Tahun (B-15).
Selain Cody, seorang lagi bintang muda West Ham turut memiliki darah Malaysia iaitu Harry Montague. Montague ketika ini beraksi untuk pasukan West Ham B-18.