Pemain pertahanan Filipina, Paul Tabinas berpotensi mewarnai saingan Liga Europa UEFA (UEL) musim ini.
Ini kerana wartawan sukan Itali, Lorenzo Lepore mendedahkan khidmat pemain pertahanan berusia 23 tahun itu diintai Dinamo Zagreb.
Dinamo pada awalnya mahu mendapatkan Tabinas pada akhir musim menerusi perjanjian prakontrak. Walau bagaimanapun, pengurusan kelab itu memilih menukar strategi apabila tetingkap perpindahan Januari 2026 dibuka.
Dinamo yang dibimbing Mario Kovacevic dilaporkan bersetuju membayar yuran perpindahan sebanyak €100,000 (RM474,000) kepada kelab Tabinas, NK Vukovar.
Vukovar dilaporkan bersetuju dengan tawaran itu. Ini kerana pemain kelahiran Shinjuku, Tokyo itu enggan menyambung kontrak bersama kelab berkenaan.
Sekiranya perpindahan ini menjadi realiti, Tabinas mengikut jejak ramai pemain Asia Tenggara yang pernah beraksi di pentas Eropah. Antaranya, kapten Harimau Malaya, Dion Cools dan duo Indonesia, Kevin Diks dan Thom Haye.
Cools pernah beraksi di pentas Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan UEL bersama FC Brugge. Diks dan Haye pula masing-masing pernah beraksi di pentas UCL dan UEL bersama FC Copenhagen dan AZ Alkmaar.
Tabinas dijangka bersaing dengan Ronael Pierre-Gabriel, Moris Valincic dan Noa Mikic di posisi bek kanan jika melengkapkan perpindahan ke Dinamo.