Pemain pertahanan Sabah FC, Dane Ingham menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan New Zealand.
Namanya tersenarai dalam senarai pemain yang dipanggil Darren Bazeley untuk empat aksi persahabatan dalam kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kali ini.
Kali terakhir Ingham dipanggil menyertai kem All Whites ialah Mac 2024. Beliau beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Mesir pada 23 Mac 2024 dan beraksi di posisi bek kanan.
Sekiranya semua berjalan lancar, Ingham berpeluang menambah 13 penampilan bersama New Zealand di peringkat antarabangsa.
Keupayaan beliau sebagai pemain utiliti dijangka menjadi aset buat All Whites. Ini kerana meskipun beraksi sebagai bek kanan, Ingham sedia beraksi di mana-mana posisi ketika bersama Sabah.
Selain beraksi sebagai bek kanan, beliau juga pernah mengisi posisi pemain sayap kanan, bek tengah atau pemain tengah dalam 44 penampilan bersama Sang Badak. Ingham juga merekodkan empat gol dan satu bantuan gol bersama pasukan Borneo itu.
Bazeley turut memanggil tiga pemain baharu untuk kem kali ini. Tiga nama tersebut ialah Stipe Ukich (NK Istra), Henry Gray (Wellington Phoenix) dan George Stanger (Kilmarnock).
New Zealand bakal berdepan Palestin, China dan Panama untuk tiga aksi persahabatan antarabangsa. Jepun atau Ecuador bakal menjadi lawan terakhir mereka untuk aksi persahabatan keempat di Jepun.