Ketua jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura merasa bangga dengan keputusan yang diraih pasukannya apabila berjaya merantai Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.
Pada aksi tersebut, skuad negara turun dengan misi penting memburu 3 mata tatkala Singapura hanya mencari sekurang-kurangnya keputusan seri untuk menempah tiket ke separuh akhir.
Walaupun anak didik Pau Marti menguasai sebahagian besar permainan dan miliki lebih banyak peluang terhidang, namun Singapura tampil kebal untuk mempertahan keputusan seri.
Menurut Ogura, karakter semangat melawan para pemainnya di setiap posisi perlu dihambur pujian apabila turun bertemu pasukan Malaysia yang lebih banyak kelebihan.
”Hari ini, kami turun berdepan Malaysia tanpa sebarang skill tetapi mereka mempamer semangat melawan, bukan sahaja pertahanan, tapi tengah dan penyerang,” ujar Ogura di sesi sidang media.
Ujarnya lagi, keputusan seri di gelanggang keramat Harimau Malaya ini bagai sejarah baharu buat bola sepak Kota Singa dan semua ini dicapai hasil titik peluh pemain-pemain yang berjuang.
”Pada hari ini, keputusan yang baik diraih untuk sejarah bola sepak Singapura, saya beritahu para pemain melakar sejarah ini bukan terletak di tangan jurulatih, tapi kesemua pemain,”
Keputusan seri di Bukit Jalil ini menyaksikan Singapura mara ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan A dengan tujuh mata sekaligus mengiringi Thailand yang muncul juara.