Aksi tegas pengadil wanita FIFA, Atikah Janah dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) baru-baru ini meraih perhatian ramai.
Baru-baru ini, saingan MPFL hari perlawanan ke-8 telah pun berlangsung pada Ahad lalu dengan menyaksikan sebanyak 6 pertemuan menarik membabitkan 12 pasukan tumpuan.
Salah satu pertembungan yang telah mencuri perhatian adalah perlawanan antara pendahulu carta liga, PFA Odin yang turun menentang ATM yang berjalan di sebelah pagi.
Tumpuan pada aksi tersebut terarah kepada pengadil wanita, Atikah Janah yang ditugaskan bagi mengadili pertembungan PFA Odin vs ATM ini bersama-sama 3 lagi rakan pengadil.
Kelibat Atikah mendapat perhatian kerana bersikap tegas ketika mengawal situasi tanpa berkomproni dengan mana-mana kekasaran atau tindakan yang menyalahi peraturan.
“Mari sini, ada masalah apa tolak-tolak? Semua ok? Kawal diri,” tegas Atikah Janah kepada pemain kedua-dua pasukan.
”Ikut saya berdiri di atas garisan putih ini. Jangan bergerak selagi pemain lawan tak menendang,” arahnya lagi kepada pemain PFA Odin ketika situasi sepakan percuma.
Malah, Atikah juga dikesan melayangkan kad kuning kepada kapten pasukan PFA Odin, Azrin Shahmin di atas kesalahan pemain tersebut ketika menghalang serangan pasukan ATM.
Perlawanan berlangsung dengan baik yang menyaksikan PFA Odin berjaya merekodkan kemenangan tipis 2-1 ke atas ATM hasil dua gol daripada Asyraf Zakaris dan Georgis Kinkladze.
Sementara itu jaringan tunggal ATM pula disumbangkan oleh Shamsuri Saleh ketika perlawanan berbaki 5 minit lagi untuk dimainkan.