Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini telah memberikan amaran kepada Tunisia bahawa negara tersebut berisiko untuk dibatalkan penyertaan dalam kempen Piala Dunia 2022 di Qatar bulan hadapan.
Tunisia berdepan dengan tindakan tersebut selepas terdapat campur tangan daripada kerajaan terhadap Persekutuan Bola Sepak Tunisia (TFF). Mengikut peraturan FIFA, persatuan bola sepak semua negara anggota mesti bebas daripada sebarang penglibatan pihak ketiga atau kerajaan.
FIFA mengesahkan surat amaran itu kepada agensi berita Reuters namun enggan mengulas lanjut mengenai isi kandungan surat tersebut. Bagi pihak TFF pula, mereka juga turut mengunci mulut daripada memberikan komen.
“Sebarang kegagalan untuk mematuhi peraturan ini boleh mengakibatkan dikenakan penalti di bawah undang-undang FIFA, termasuk penggantungan persatuan berkaitan,” katanya seperti dilaporkan Al-Jazeera.
Untuk rekod, Tunisia itu tidak pernah melepasi peringkat kumpulan dalam semua Piala Dunia yang disertai. Di Russia 2018, Tunisia hanya mencatatkan kemenangan kedua dalam Piala Dunia dan yang pertama sejak 1978 selepas mengalahkan Panama 2-1.
Pada edisi 2022 di Qatar, Tunisia berada di dalam kumpulan D bersama-sama Perancis, Australia dan Denmark. Mereka bakal memulakan kempen dengan menentang Denmark pada 22 November depan. Ini merupakan kali keenam mereka layak ke Piala Dunia.