Advertisements
Tunku Ismail Harap Kelab Di Malaysia Ikut Langkah Terengganu
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor berharap kelab di Malaysia sekurang-kurangnya mengikut langkah Terengganu.

Isu padang di Malaysia kembali menjadi bualan hangat selepas aksi Perak dan JDT di Stadium Ipoh terpaksa ditunda buat kali kedua.

Hal ini selepas padang berada dalam keadaan berlecak susulan hujan lebat sekaligus memberikan masalah kepada banyak pihak.

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) juga mengumumkan bahawa telah menyalurkan geran keseluruhan bernilai RM4.6 juta kepada 10 negeri bagi pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak dan sistem saliran di stadium.

8 negeri dalam senarai iaitu Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka menerima geran penuh RM500,000 bagi proses penambahbaikan saliran dan penukaran rumput di stadium.

Walau bagaimanapun, terdapat dua negeri iaitu Perlis dan Kedah hanya menerima RM300,000 kerana untuk menaik taraf sistem saliran.

DYAM Tunku Ismail mencadangkan agar stadium negeri di Malaysia dapat menukar rumput sekurang-kurangnya menggunakan rumput jenis Bermuda seperti Terengganu.

“Kalau tak nak tukar Zeon Zoysia, tukar kepada bermuda macam Terengganu FC. Dua-dua jenis rumput berasaskan pasir. 

“Apabila hujan, tak berlumpur. Masalah rumput lembu adalah berasaskan tanah dan apabila hujan, air bertakung atau berlumpur,” jelas baginda.

Baginda turut menyangkal berkenaan teori pasukan lawan menggunakan rumput lembu adalah semata-mata untuk melemahkan JDT.

“Ada juga saya dengar teori yang mengatakan cow grass memberi kelemahan kepada JDT. Tuan-tuan, JDT belum kalah aksi tempat lawan dalam liga sejak Mac 2018.

“6 tahun belum kalah atas rumput lembu. Jadi tolonglah berfikir secara professional dan meningkatkan infra bola sepak negara,” tambah DYAM Tunku Ismail.

Stadium Darul Makmur telah mengumumkan akan menukar padang kepada Bermuda sekaligus menjadi stadium kedua di Malaysia menggunakan rumput tersebut selepas Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu.