Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, tampil memberikan pandangan tegas mengenai apa yang disifatkan sebagai hipokrasi dalam landskap bola sepak Malaysia. Selepas ini, Baginda menegaskan bahawa perbahasan yang sering dimainkan oleh sesetengah pihak tidak menyentuh akar permasalahan sebenar, sebaliknya lebih gemar menuding jari dan membina persepsi.
Tunku Ismail menyatakan bahawa presiden datang dan pergi, jurulatih datang dan pergi, pemain serta lawan juga silih berganti, namun konsistensi JDT tidak boleh dinafikan. Menurut Baginda, rekod dan pencapaian kelab itu sama ada di dalam mahupun di luar padang menjadi bukti jelas terhadap hala tuju serta pengurusan yang stabil sejak lebih sedekad lalu.
“Presiden datang dan pergi, jurulatih datang dan pergi, pemain datang dan pergi, lawan datang dan pergi. Tetapi konsistensi JDT tidak boleh dinafikan. Rekod dan pencapaian di dalam dan di luar padang,” komen Tunku Ismail dalam satu hantaran di laman media sosial.
Baginda turut menyentuh dakwaan segelintir pihak yang kononnya mendakwa bola sepak Malaysia sudah mati disebabkan isu mutu pengadilan dan polemik pemain warisan. Tunku Ismail mempersoalkan mengapa suara yang sama tidak pernah benar-benar membincangkan krisis yang lebih besar dan berakar umbi dalam ekosistem bola sepak tempatan.
“Mengapa tiada seorang pun yang bercakap mengenai krisis sebenar seperti pucuk kepimpinan lama badan induk yang tidak menyalurkan wang hak penyiaran televisyen kepada pasukan bertanding? Mengapa tiada yang membangkitkan isu ketiadaan pertandingan yang benar-benar kompetitif untuk pembangunan pemain muda?” tulis Baginda lagi.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk kegagalan kepimpinan lama badan induk yang didakwa tidak menyalurkan dana hak penyiaran kepada pasukan, sekali gus menjejaskan kestabilan kewangan kelab. Baginda menegaskan bahawa perkara sebesar itu sepatutnya menjadi fokus utama sekiranya benar mahu melihat pembaharuan menyeluruh dalam bola sepak negara.
Selain itu, Tunku Ismail turut menyentuh isu tunggakan gaji dan kegagalan mengurus kewangan pasukan yang didakwa berlarutan bertahun-tahun. “Mengapa tiada yang mempersoalkan isu tidak membayar gaji dan kegagalan mengurus dana dengan baik?” soal Baginda dalam hantaran sama.
Baginda juga membangkitkan soal kemudahan asas yang masih ketinggalan, termasuk keadaan padang yang tidak berkualiti, stadium yang uzur, lampu limpah yang tidak memenuhi piawaian moden, serta ketiadaan pusat latihan bagi sesetengah pasukan walaupun telah beroperasi puluhan tahun.
“Apakah cara paling mudah untuk mengaburkan mata penyokong? Tuding jari kepada isu lain dan pihak lain supaya dapat menutup kelemahan serta kegagalan sendiri yang sudah wujud berpuluh tahun,” tegas Tunku Ismail.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai sindiran terbuka terhadap golongan yang gemar tampil seolah-olah paling memahami bola sepak negara, namun jarang menyentuh kelemahan struktur dan pengurusan yang telah lama membelenggu pasukan masing-masing. Bagi Tunku Ismail, hipokrasi inilah yang perlu dihentikan jika benar mahu melihat perubahan sebenar dalam bola sepak Malaysia.