Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menafikan minat JDT terhadap Kobe Chong.
Pemain berusia 22 tahun tiba di Malaysia minggu lalu dan mendapat liputan meluas daripada para peminat tanah air.
Khidmat beliau pada awalnya dikaitkan dengan beberapa kelab di Liga Super iaitu JDT, Selangor dan juga Terengganu menerusi laporan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Perkembangan terbaru oleh Tunku Ismail memberi jawapan muktamad tentang minat JDT terhadap bekas pemain Cagliari di Serie A itu.
Baginda memberitahu pada ruangan komen MakanBola mengenai keputusan JDT yang tidak berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut.
“Tidak,” ujar DYAM Tunku Mahkota Ismail pada ruangan komen MakanBola.
Skuad Harimau Selatan juga memiliki ramai pemain berkualiti untuk mengisi posisi tengah dan serangan musim ini selain masih mengekalkan rekod 100 peratus dalam semua kejohanan setakat ini.
Baginda juga telah menafikan khabar angin mengenai perpindahan penyerang Barcelona SC, Francisco Fydriszewski menerusi satu kenyataan baru-baru ini.