Tuntutan Bekas Pemain Kelantan TRW Selesai
MakanBola
The Real Warriors

Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) telah menyelesaikan semua tuntutan membabitkan bekas pemain pasukan itu.

Perkara ini disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan TRW, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah apabila ditanya tentang perkara tersebut.

Irwan Rizal memaklumkan pengurusan baharu pasukan itu mengambil tanggungjawab untuk melunaskan semua tuntutan yang dinyatakan.

“Alhamdulillah, semuanya kekal tenang. Saya rasa sudah tak ada tuntutan. Saya harap sudah tak ada tuntutan.

“Sebab kita pengurusan yang baru, kita sudah ambil tanggungjawab untuk selesaikan tuntutan-tuntutan dengan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Irwan Rizal turut memaklumkan sekiranya ada lagi tuntutan yang timbul, ia akan diselesaikan mengikut proses yang ditetapkan.

“Saya tak nak komen lebih-lebih. Tapi segala tuntutan sebelum ini kita sudah selesaikan,” ujarnya.

“Tapi, tuntutan baru (jika ada), saya kena uruskan tuntutan baru jika ada secara berhemah untuk ikut proses.”

Isu tuntutan membabitkan bekas pemain dan pegawai Kelantan TRW musim lalu menyebabkan pasukan itu dikenakan sekatan perpindahan oleh Malaysian Football League (MFL).

Sekatan itu kemudiannya ditarik balik pada hari terakhir tetingkap kedua perpindahan Liga Super selepas MFL berpuas hati dengan bukti pembayaran yang dikemukakan pasukan Pantai Timur itu.