Kelab Serie A, Atalanta BC mencipta sejarah dengan mara ke final Liga Europa UEFA (UEL) buat kali pertama dengan menewaskan Marseille dalam aksi kedua separuh akhir hari ini.
Selepas terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama, kedua-dua pasukan tahu mereka perlu menang untuk menempah tiket ke final.
La Dea mahu mencipta sejarah layak ke final Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab mereka. Manakala Les Olympiens pula mahu mengulangi pencapaian layak ke final buat kali pertama sejak edisi 2017/18.
Babak pertama menyaksikan Atalanta memberi tekanan kepada pelawat menerusi formasi biasa mereka, 3-4-3.
Keadaan ini memaksa Marseille yang menggunakan formasi sama bekerja keras menangkis asakan trio penyerang tuan rumah, Gianluca Scamacca, Ademola Lookman dan Charles De Ketelaere.
Gol yang dicari tuan rumah akhirnya muncul pada minit ke-38 menerusi bekas penyerang Charlton Athletic, Lookman.
Gol tersebut memberi semangat kepada La Dea untuk memburu gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Marseille tampil garang dengan harapan dapat merapatkan jurang agregat 2-1.
Malangnya, apa yang diharapkan anak buah Jean-Louis Gasset itu tidak berlaku. Sebaliknya, Ederson menggandakan kelebihan Atalanta pada minit ke-52.
Dengan kedudukan Atalanta kelihatan selamat, pengurus pasukan, Gian Piero Gasperini membuat beberapa pertukaran pemain termasuk memasukkan El Bilal Toure menggantikan Lookman.
Toure yang masuk pada minit ke-77 mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-94. Gol tersebut sudah cukup membawa La Dea ke final Liga Europa.
Kerja keras dan gol yang dihasilkan Lookman menyebabkan beliau dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini. Bekas penyerang Everton itu mendapat markah 8.3, 0.2 mata di hadapan rakan sepasukan Matteo Ruggeri.
Atalanta bakal berdepan tugas sukar kerana menentang juara Bundesliga yang masih belum kalah dalam semua kejohanan, Bayer Leverkusen. Kedua-dua pasukan bakal berentap di pentas final yang diadakan di Stadium Aviva, Dublin, Ireland pada 23 Mei ini.