Kelab gergasi Merseyside, Liverpool menepati ramalan layak ke suku akhir Liga Europa musim 2023-2024.
Ini selepas The Reds membelasah kelab Republik Czech, Sparta Prague 6-1 dalam aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik di Anfield hari ini.
Meskipun sudah separuh kaki layak ke suku akhir, jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp enggan mengambil risiko dengan menurunkan skuad lemah.
Sebaliknya, jurulatih Jerman itu menurunkan barisan terkuat termasuk Mohamed Salah, Darwin Nunez, Wataru Endo dan Dominik Szoboszlai.
Percaturan yang dibuat bekas pengendali Borussia Dortmund itu membuahkan hasil apabila Liverpool menyumbat dua gol awal pada minit ketujuh dan kelapan.
Nunez menceriakan penyokong The Reds dengan membolosi gawang pelawat yang dikawal Peter Vindahl Jensen.
Seminit selepas itu, bintang muda Bobby Clark merekodkan gol pertama dalam kariernya dengan menyudahkan hantaran Salah.
Clark kemudiannya mencipta hantaran yang disudahkan bintang Mesir itu pada minit ke-10. Belum sempat Iron Sparta bernafas, Cody Gakpo memastikan tuan rumah mendahului 4-0 pada minit ke-14.
Prague memastikan mereka memiliki gol saguhati di Anfield menerusi Veljko Birmancevic pada minit ke-42. Keputusan 4-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah terus menggandakan asakan ke atas kubu pertahanan pelawat.
Tiga minit selepas babak kedua bersambung, Salah sekali lagi menjadi arkitek gol Liverpool dengan mencipta hantaran yang disudahkan Szoboszlai.
Gawang Iron Sparta bocor lagi apabila rembatan kencang Harvey Elliott terkena kaki Gakpo sebelum menerjah jaring pada minit ke-55. Keputusan 6-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan ini sudah cukup buat Liverpool mara dengan keputusan agregat 11-2.
Impak Salah dalam perlawanan ini amat ketara dan mendapat pengiktirafan Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Bintang Mesir itu mendapat markah sempurna 10 mata.
Keputusan ini membolehkan The Reds fokus kepada aksi suku akhir The FA Cup menentang Manchester United di Old Trafford pada Ahad ini.