Manchester United kekal tanpa kalah dalam saingan Liga Europa UEFA (UEL) apabila menewaskan kelab gergasi Scotland, Rangers 2-1.
Selepas diaibkan Brighton 3-1, pengendali United, Ruben Amorim mahu melihat anak buahnya bangkit semula. Rangers pula bersemangat selepas membelasah Fraserbugh 5-0 dalam saingan Scottish Cup.
Amorim memilih Christian Eriksen untuk bergandingan dengan Joshua Zirkzee dan Alejandro Garnacho. Hamza Igamane mengetuai jentera serangan The Light Blues.
Separuh masa pertama menyaksikan Garnacho berusaha mendapatkan gol pendahuluan seawal minit ketiga. Percubaan beliau dinafikan penjaga gol Rangers, Jack Butland.
The Light Blues hampir mendahului pada minit kesembilan menerusi Igamane tetapi disekat penjaga gol United dari Turkiye, Altay Bayindir.
Mathijs de Ligt menyangka telah meletakkan The Red Devils di hadapan pada minit ke-23. Walau bagaimanapun, gol itu dibatalkan selepas pengadil mengesan kekasaran yang dilakukan Leny Yoro ke atas Butland.
Kedua-dua pasukan terus mencari gol pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, jurulatih Rangers, Philippe Clement terpaksa melakukan dua pertukaran pemain akibat kecederaan. Bailey Rice dan Ross McCausland dibawa masuk menggantikan Leon Balogun dan Connor Barron.
United akhirnya meraih gol pendahuluan di Old Trafford menerusi gol sendiri Butland pada minit ke-52. Sepakan sudut yang diambil Eriksen menyebabkan bekas penjaga gol Crystal Palace itu tertumbuk bola ke gawangnya sendiri.
United hampir menambah jaringan menerusi Garnacho pada minit ke-61 selepas menerima hantaran Amad Diallo. Pemain sayap muda Argentina itu hampa apabila percubaannya terkena tiang.
Rangers meraih gol penyamaan menerusi pemain gantian, Cyril Dessers pada minit ke-85. Selepas mengatasi cabaran Harry Maguire, penyerang Nigeria itu mudah menewaskan Bayindir.
Tatkala pelawat menyangka mereka dapat mencuri satu mata dari Old Trafford, Bruno Fernandes muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.
Keputusan ini meletakkan The Red Devils di tangga keempat liga UEL dengan 15 mata, satu mata di belakang Athletic Bilbao. The Light Blues pula berada di tangga ke-13 dengan 11 mata.
Sofascore memilih Fernandes sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.7. Beliau mengatasi pencabar terdekat dan rakan sepasukan, Lisandro Martinez yang menerima markah 8.0.
Selepas ini, United akan berdepan Fulham di Craven Cottage pada 27 Januari. Rangers pula berdepan Dundee United di Tannadice pada 26 Januari.