Kumpulan penyokong tegar, Ultras Malaya mengumumkan tindakan drastik apabila melancarkan boikot fasa pertama terhadap semua perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan tersebut dibuat selepas mereka meneliti dan membincangkan pelbagai aspek serta faktor berkaitan isu semasa bola sepak negara, susulan tiga tuntutan utama yang telah dibentangkan kepada umum pada 13 April 2026.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Ultras Malaya menegaskan bahawa mereka mewakili keseluruhan sub kumpulan di bawah panji mereka dan telah mencapai kata sepakat untuk mengambil pendirian tegas demi masa depan bola sepak negara.
Tiga tuntutan yang menjadi asas kepada tindakan tersebut adalah penarikan balik kerakyatan tujuh pemain, pemulangan semula pengurusan pasukan Harimau Malaya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), serta pelaksanaan reformasi menyeluruh dalam struktur bola sepak Malaysia.
Menurut mereka, langkah boikot ini merupakan sebahagian daripada usaha memberi tekanan kepada pihak berkaitan agar mengambil tindakan serius terhadap isu yang dibangkitkan, termasuk soal tadbir urus dan hala tuju bola sepak negara.
Ultras Malaya turut menetapkan tempoh sehingga 31 Ogos 2026 untuk ketiga-tiga tuntutan tersebut dipenuhi dan dilaksanakan sepenuhnya, dengan harapan perubahan dapat dilakukan dalam tempoh berkenaan.
Mereka menegaskan bahawa kegagalan memenuhi tuntutan tersebut akan membawa kepada pelaksanaan boikot fasa kedua yang lebih menyeluruh, melibatkan keseluruhan ekosistem Liga Malaysia.
Dalam masa sama, kumpulan penyokong itu menegaskan bahawa tindakan yang diambil bukan didorong oleh kebencian terhadap pasukan kebangsaan atau mana-mana pihak, sebaliknya demi memastikan bola sepak Malaysia bebas daripada kepentingan sempit dan kelemahan sistem yang berpanjangan.
Ultras Malaya menutup kenyataan dengan menegaskan komitmen mereka untuk terus memperjuangkan bola sepak Malaysia yang tulen, adil dan berintegriti, serta menolak sebarang bentuk eksploitasi demi kepentingan peribadi mana-mana pihak.