Ultras Selangor Ditahan Polis
MakanBola
SFC/PS

Pemerhati bola sepak Terengganu, Piang Shankly mendedahkan Ultras Selangor telah ditahan pihak berkuasa sebelum aksi Liga Super antara Terengganu FC dan Selangor FC.

Beliau memaklumkan perkara itu berlaku disebabkan tindakan konvoi Ultras Selangor menghalang pergerakan lalu lintas di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Susulan itu, beberapa kereta peronda mengiringi bas-bas yang membawa kumpulan Ultras Selangor ke balai polis.

“Ultrasel dibawa ke balai polis selepas konvoi mereka menghalang lalu lintas di atas Jambatan Angkat Kuala Terengganu. Mereka juga tidak kelihatan di SSMZA,” katanya di X.

Hal ini turut menjelaskan sebab ketiadaan Ultras Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) untuk aksi berkenaan.

Sebaik video tersebut dimuat naik di X, ramai peminat bola sepak menyifatkan Ultras Selangor sepatutnya menjaga perangai terutama di tempat lawan.

Seorang peminat bernama Taufiqamir19 berpandangan sebarang aktiviti penyokong tidak sepatutnya mengganggu orang lain terutama lalu lintas.

“Tak semua benda kena ikut Eropah. Hari ini hari Ahad, Jambatan Angkat Kuala Terengganu laluan utama rakyat Terengganu.

“Tak kisah bendera warna apa, yang penting jangan menyusahkan kehidupan orang saja,” katanya.

Pandangan ini turut dipersetujui seorang lagi peminat bernama Norahafizah_. “Datang ke tempat lawan sia-sia?

“Kalau ya pun nak membudayakan sokongan bola sepak tempatan, ada pelbagai cara lagi untuk tunjukkannya,” ujarnya.

Aksi liga di SSMZA menyaksikan Terengganu dan Selangor terikat 1-1. Faisal Halim muncul penyelamat dengan menyumbat gol penyamaan buat Selangor pada separuh masa kedua.