“Umur Hanya Angka” – Safiq Rahim
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas pemain tengah kebangsaan, Safiq Rahim melihat faktor umur bukan penghalang buat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva menabur bakti untuk Harimau Malaya.

Selepas penyerang berdarah Brazil itu sah menjadi tempatan, timbul persoalan sama ada Bergson mampu beraksi di peringkat antarabangsa atau sebaliknya. Hal ini disebabkan usia beliau yang kini mencecah 35 tahun.

Apabila diminta mengulas tentang persoalan tersebut, Safiq tidak melihat itu sebagai satu isu. Selain memiliki kualiti sebagai peledak berbisa, Bergson juga mendapat sokongan JDT menerusi program latihan, penjagaan fizikal dan kemudahan bertaraf dunia.

Bergson juga gigih belajar berkomunikasi dalam Bahasa Melayu agar memiliki persefahaman lebih jitu bersama rakan sepasukan. Safiq melihat faktor-faktor ini sebagai tanda komitmen beliau terhadap Malaysia.

“Saya rasa umur hanyalah angka, jika anda mempunyai program latihan, penjagaan fizikal dan kemudahan bertaraf dunia yang baik, saya rasa jangka hayat dalam bola sepak akan menjadi lebih.

“Saya rasa apa yang ada di JDT akan membantu dia pergi lebih jauh atau lebih lama sebagai pemain bola sepak,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Selain Bergson, Manuel Hidalgo, Shane Lowry dan pemain baharu Harimau Selatan, Brad Tapp juga berstatus pemain tempatan. Hidalgo dan Lowry berstatus pemain naturalisasi dengan Tapp pula berstatus pemain warisan.

Safiq melihat kehadiran kuartet ini mampu memberi nilai tambah kepada Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

“Saya rasa empat pemain ini adalah aset terbaik buat negara, empat pemain ini komitmen mereka luar biasa. Saya harap empat pemain ini akan beri impak buat skuad negara dalam kempen akan datang,” tambahnya.

Kuartet ini berpotensi membantu skuad negara mengharungi kempen FIFA ASEAN Cup yang akan berlangsung pada penghujung September ini.