Uzbekistan Panggil Bekas Jeneral Tengah Sri Pahang
MakanBola
Sri Pahang FC

Nama bekas pemain tengah Sri Pahang FC, Kuvondik Ruziev kembali menjadi sebutan peminat bola sepak Malaysia.

Ini kerana namanya menjadi sebahagian daripada 29 pemain skuad Uzbekistan yang dipanggil jurulatih Itali, Fabio Cannavaro.

Pasukan gergasi Asia Tengah itu akan menjalani kem latihan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berdasarkan pengumuman Persekutuan Bola Sepak Uzbekistan (UFA) baru-baru ini.

Kem ini diadakan bertujuan membantu Cannavaro memantau prestasi dan tahap fizikal pemain yang beraksi di Uzbekistan Super League.

Ini kerana saingan liga itu bermula dari musim bunga hingga musim sejuk dalam setahun. Ini berbeza dengan kebanyakan liga Asia yang bermula pada musim luruh dan berakhir pada musim panas.

Pemantauan ini membolehkan Cannavaro merancang skuad seterusnya untuk kempen FIFA Series 2026 yang bermula pada Mac ini.

Ini secara tidak langsung membantu perancangan pemenang Piala Dunia itu menjelang kempen kejohanan berprestij itu pada Jun ini.

Kuvondik bukan asing kerana pernah beraksi untuk Sri Pahang selama beberapa musim. Selepas meninggalkan skuad Tok Gajah, beliau mewakili Neftchi Fergana selama dua musim.

Sepanjang tempoh itu, Kuvondik dan bekas bek tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Bojan Ciger membantu pasukan itu muncul juara liga musim 2025.

Beliau kini mewakili Navbahor selepas kontraknya bersama Neftchi tamat pada akhir tahun 2025.