Saingan Thailand Masters 2025 cukup unik kerana menampilkan gandingan beregu lelaki Malaysia dan Korea Selatan iaitu Goh V Shem dan Choi Sol-gyu.
Meskipun baru bergandingan sejak November 2024, itu tidak menghalang V Shem-Sol Gyu menewaskan beregu negara, Goh Boon Zhe-Wong Vin Sean di pusingan pertama.
Mereka meraih kemenangan 21-8, 21-16. Kemenangan itu membolehkan V Shem-Sol Gyu mara ke pusingan kedua Thailand Masters 2025.
Ini bukan kali pertama pemain badminton Malaysia dan Korea Selatan beraksi sebagai satu beregu. Ini kerana perkara tersebut pernah dilakukan bekas pemain beregu nombor satu dunia, Tan Boon Heong.
Fakta menarik itu dikongsikan koresponden Shuttlehard, Akem Asyraf. Beliau memaklumkan Boon Heong pernah bergandingan dengan pemain Korea Selatan, Yoo Yeon-seong.
Gandingan ini pernah mara sehingga ke peringkat suku akhir Malaysia Open 2018. Selain Yeon-seong, Boon Heong juga pernah bergandingan dengan Kim Sa-rang dan Hendra Setiawan.
V Shem-Sol Gyu bakal menentang pilihan utama kejohanan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Bagas Maulana dalam pusingan kedua.