Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan venue pusingan akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) akan kekal di Arab Saudi.
Hal ini dinyatakan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John apabila ditanya tentang kemungkinan perubahan venue pusingan akhir kejohanan itu.
Sebelum ini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan khabar angin pusingan akhir ACLE akan diadakan sama ada di Malaysia atau Jeddah, Arab Saudi.
Ini disebabkan konflik yang tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran sejak 28 Februari lalu.
Konflik tersebut turut menyebabkan semua aksi pusingan 16 ACLE belah Barat terpaksa ditangguhkan.
Windsor memaklumkan buat masa ini, AFC melihat tiada keperluan untuk mengubah venue pusingan akhir ACLE.
AFC turut melihat jika ada perubahan sekalipun, ia membabitkan perubahan tarikh pusingan akhir kejohanan itu. Ini ditambah dengan AFC turut memantau situasi semasa di Asia Barat.
“Jika ada orang yang bertanya sama ada venue pusingan akhir ACLE akan diubah, buat masa ini tidak. Tarikh mungkin berubah tetapi venue tidak akan diubah kerana itu keputusan penganjur,” katanya.
Windsor berkata demikian dalam sidang media khas AFC yang diadakan di Wisma FAM pada Isnin.
Sidang media itu diadakan bagi membolehkan AFC memberi kemas kini terbaru berhubung proses reformasi dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).