Arsenal akhirnya mengangkat trofi Premier League selepas penantian panjang 22 tahun, tetapi yang membuatkan saat itu lebih istimewa bukan sahaja kemenangan itu sendiri, malah siapa yang menyerahkan trofi tersebut kepada kapten mereka.
Selepas Mikel Arteta membawa pemain-pemainnya naik ke atas pentas untuk menerima pingat, trofi itu diserahkan kepada Martin Odegaard oleh Emmanuel Nmecha, seorang pemain dan duta pasukan North London United Down’s Syndrome.
Bukan eksekutif korporat. Bukan pelabur berbilion dolar. Tapi Emmanuel. Emmanuel, 25 tahun dari Islington, telah bersama North London United sejak program itu diasaskan 11 tahun lalu. Pasukan ini diwujudkan khas untuk pemain-pemain yang menghidap Down Syndrome, dengan slogan “where we have that little extra”, satu simbolik kepada kromosom ke-21 yang menjadi tanda genetik sindrom ini, dan disokong bersama oleh organisasi Krome 21 dan Arsenal FC.
Emmanuel sendiri pernah berlatih bersama skuad pertama Arsenal dan sempat menemubual pengurus Mikel Arteta. Kini, di pentas yang paling besar dalam sejarah Arsenal musim ini, Emmanuel berdiri di hadapan ribuan penyokong dan menyerahkan trofi Premier League kepada kapten kelab itu. Bukan sebagai tetamu istimewa. Tapi sebagai sebahagian daripada keluarga Arsenal.
Program North London United beroperasi setiap hari Isnin di The Arsenal Hub, merangkumi sesi selama 45 minit yang direka untuk pelbagai kumpulan umur, bukan sekadar bola sepak, malah turut memfokuskan kepada pergerakan, komunikasi dan kemahiran sosial. Pemain-pemain Arsenal sendiri termasuk Odegaard, Leah Williamson dan beberapa nama besar lain pernah hadir menyertai sesi-sesi ini.
Odegaard kemudiannya mengangkat trofi itu tinggi-tinggi ke langit London Selatan di tengah-tengah hujan konfeti dan bunga api, mengesahkan Arsenal sebagai pasukan terbaik di England.
Reaksi Odegaard selepas itu cukup menggambarkan betapa bermakna momen tersebut: “Ia rasa seperti tidak nyata, sukar nak ungkapkan dengan kata-kata, tapi saya begitu bangga, gembira dan emosional. Berjalan ke arah trofi itu dan menyedari segalanya… ia satu perasaan yang gila. Saya begitu bangga dengan semua orang.”
Tapi bagi ramai penyokong yang menyaksikan detik itu, sebahagian daripada rasa bangga itu datang selepas melihat Emmanuel di atas pentas sebagai bukti bahawa Arsenal faham bahawa trofi bukan milik syarikat atau pemegang saham, tapi milik semua orang yang menghidupkan kelab itu dari dalam.
Itulah yang menjadikan malam itu bukan sekadar perayaan kejuaraan. Ia satu kenyataan tentang nilai sebuah kelab bola sepak yang sebenar.