Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu para pemainnya terlalu selesa disebalik kemenangan bergaya 4-2 ke atas Perak tempoh hari.
Sabah meraih 3 mata hasil jaringan Ko Kwang-min, Stuart Wilkin, Joao Pedro dan juga Miguel Cifuentus ketika berkunjung ke Perak.
Pengendali Sabah itu bagaimanapun mahu anak buahnya kekal fokus dalam menghadapi saingan Liga Super yang bakal menjadi lebih mencabar atas beberapa faktor seperti kehilangan pemain utama iaitu Darren Lok.
Aksi pada waktu petang juga memberikan cabaran yang berbeza buat pemain Sabah sekaligus menuntut anak buahnya terus fokus untuk perlawanan yang mendatang.
“Bukan mudah terutama bermain pada jam 5 petang dengan keadaan cuaca begitu panas.
“Kedua kita kehilangan beberapa tonggak seperti Darren Lok dan pada masa yang sama ini membuka ruang kepada pemain yang lain.
“Jadi apa yang ditunjukkan para pemain petang ini amat penting untuk kita bawa ke perlawanan seterusnya bukan untuk merayakan hanya sementara.
“Jadi pemain harus kembali fokus sepenuhnya selepas kita kembali untuk perlawanan seterusnya.” ujar Datuk Ong Kim Swee.
Pengendali Sabah itu juga mempunyai perancangan tersendiri dalam terus memberikan peluang kepada barisan pemain muda pasukan Sabah.
“Beberapa pemain bawah 23 ada berlatih bersama skuad senior tetapi dalam masa yang sama skuad bawah 23 juga ada perlawanan yang perlu diharungi.
“Saya akan pastikan mereka mempunyai minit permainan untuk memastikan pasukan Sabah bawah 23 berada dalam landasan yang betul.” tambahnya lagi.
Sabah kini berada di kedudukan ke-4 Liga Super dan berkongsi 17 mata dengan pasukan Terengganu yang berada ditangga ke-3 liga.
Sabah seterusnya akan menentang Penang pada 25 Oktober ini dan juga Kedah Darul Aman pada 29 Oktober kelak untuk aksi Liga Super.