Pemain warisan Malaysia-USA, Wan Kuzain Wan Kamal kembali memberikan senyuman buat jurulatih Malaysia, Peter Cklamovski tersenyum gembira.
Tonggak berusia 28 tahun itu sudah pun menyertai kelab baharu di Amerika Syarikat, Sporting JAX setelah kontraknya bersama St Louis City 2 tamat.
Beliau yang merupakan tonggak tengah versatil tidak menunggu lama untuk memberikan impak selepas turun dalam dua perlawanan bersama pasukan di USL Championship.
Kuzain beraksi dalam kesebelasan utama dan membentuk gandingan mantap di bahagian tengah sebelum dikeluarkan pada minit ke-59 menentang Rhode Island FC.
Kuzain mencipta sensasi ketika beraksi bersama St Louis City 2 musim 2025 selepas menjadi tunjang utama pasukan. Beliau beraksi dalam 25 perlawanan musim lalu, merekodkan satu gol dan dua bantuan jaringan.
Sebelum ini, beliau telah pun tersenarai ke panggilan ke kem kebangsaan sebanyak tiga kali – dengan kesemuanya hanyalah pada Senarai Bersedia sahaja.
Malaysia memiliki tugas besar selepas bakal bertemu pasukan ke-108 dunia, Vietnam bagi aksi terakhir kumpulan, di Stadium Thien Thruong, Nam Dinh jam 8.00 malam (waktu Malaysia) pada 31 Mac 2026.
Harimau Malaya memiliki kelebihan selepas menang dengan keputusan 4-0 bertemu anak buah Kim Sang-sik pada pertemuan terakhir, Jun lalu di Bukit Jalil.