Wan Kuzain Kecewa Terlepas Panggilan Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia National Team

Pemain tengah kebangsaan, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal mengakui kecewa terlepas panggilan menyertai kem Harimau Malaya.

Beliau menzahirkan rasa kecewanya itu menerusi satu kenyataan di X. Selain terlepas panggilan menyertai kem negara, Kuzain juga merasa hampa kerana hanya mengetahui perkara itu di media sosial.

“Sudah tentu merasa kecewa tidak mendapat panggilan (menyertai skuad kebangsaan). Lebih mengecewakan untuk mengetahui perkara itu melalui media sosial,” katanya.

Pada masa sama, pemain tengah Sporting JAX enggan putus asa dan mahu terus meningkatkan kualiti diri. Kuzain berharap perkara itu dapat membantunya menjadi tonggak Harimau Malaya pada masa hadapan.

Beliau juga turut mendoakan kejayaan buat Harimau Malaya menjelang edisi sulung FIFA ASEAN Cup. Kuzain juga sedia memberi sokongan padu kepada Malaysia menghadapi kejohanan berprestij itu.

“Tidak mengapa, hanya perlu kerja lebih keras untuk menjadi tonggak utama dalam pasukan. Saya ucapkan selamat berjaya kepada pasukan dan tidak sabar menyokong mereka,” tambahnya.

Sebaik hantaran itu dimuat naik di X, ramai peminat bola sepak negara meminta Kuzain agar tidak putus asa dan terus memburu peluang dipanggil untuk kalendar antarabangsa bulan November.

Kuzain meraih empat penampilan antarabangsa bersama Malaysia dalam kempen ASEAN Hyundai Cup. Selain merekodkan satu bantuan gol, beliau juga merekodkan gol cantik ketika menentang Laos di peringkat kumpulan.