Wan Kuzain Mula Berlatih Bersama Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Pemain tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal mula berlatih bersama skuad Harimau Malaya.

Gambar beliau menjalani latihan bersama pasukan itu dikongsikan pengurusan Harimau Malaya menerusi siri foto yang dimuat naik di semua platform rasmi Malaysia National Team.

Kuzain melapor diri pada 21 Julai lalu selepas menyelesaikan komitmen perlawanan bersama Sporting JAX di Amerika Syarikat (US). Beliau tiba dengan momentum positif dengan membantu kelab itu tidak tewas dalam dua aksi USL Championship (divisyen dua US).

Selepas membantu kelab itu menewaskan juara musim lalu, Pittsburgh Riverhounds SC pada 16 Julai lalu, JAX diikat Brooklyn FC 2-2.

Kehadiran Kuzain sekaligus melengkapkan senarai 26 pemain yang dipanggil jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menghadapi ASEAN Hyundai Cup 2026.

Cuaca hujan tidak menghalang barisan pemain negara berlatih sebagai persiapan menghadapi kejohanan berkenaan. Malaysia akan membuka kempen Kumpulan B kejohanan dengan menentang Myanmar pada 25 Julai ini.

Kuzain antara dua pemain yang berpangkalan di luar negara yang dipanggil Cheng Hoe untuk kempen kali ini. Selain beliau, bekas jurulatih Selangor FC itu turut memanggil bekas pemain PDRM FC yang berpangkalan di Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak.