Wan Kuzain Bantu Sporting JAX Raih Kemenangan Sulung Liga
MakanBola
Sporting JAX

Pemain tengah kebangsaan, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal membantu Sporting JAX meraih kemenangan sulung dalam saingan USL Championship.

Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan Pittsburgh Riverhounds SC 2-1. Lebih istimewa, kejayaan ini dicapai dengan menewaskan Pittsburgh yang juga juara bertahan kejohanan.

Pada awalnya, pelawat mendahului tuan rumah menerusi Trevor Amann pada minit ke-29. JAX tidak berputus asa dan terus mengasak pada separuh masa kedua.

Kuzain menjadi pencetus gerakan gol penyamaan tuan rumah pada minit ke-49. Bekas pemain St. Louis City 2 (STL2) itu melorongkan bola kepada Edgardo Rito sebelum hantarannya disudahkan Kieran Sadlier.

Itu gol kelapan bekas pemain Wycombe Wanderers itu bersama JAX. Tuan rumah kemudiannya meraih gol kemenangan menerusi Ahmad Al-Qaq pada minit ke-78.

Aksi ini juga menyaksikan JAX memberi peluang kepada bekas bek tengah Liverpool, Danny Wilson membuat penampilan pertama musim ini. Bek tengah Scotland itu menyertai kelab itu baru-baru ini.

JAX kini berharap dapat melebarkan rentak kemenangan apabila bertemu Brooklyn FC pada 19 Julai. Satu lagi kemenangan bukan saja dapat membantu kelab berkenaan mendaki kedudukan USL Championship.

Malah, ini sudah pasti memberi suntikan moral buat Kuzain sebelum menyertai kem Harimau Malaya pada 21 Julai ini. Kuzain antara 26 pemain yang dipilih Tan Cheng Hoe untuk menghadapi saingan ASEAN Hyundai Cup 2026.