Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memaklumkan Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal hanya akan melapor diri pada 21 Julai ini.
Perkembangan itu dikongsikan Cheng Hoe bersama media sebelum sesi latihan skuad negara bermula pada Rabu.
Bekas jurulatih Police Tero itu memaklumkan situasi itu berlaku kerana Kuzain perlu menyelesaikan komitmen perlawanan di Amerika Syarikat (US) bersama kelabnya, Sporting JAX terlebih dahulu.
“Dan beliau akan bersama kita setelah habis perlawanan nanti dekat AS. Dan beliau dijangka sampai dalam 21 haribulan nanti,” katanya.
Semakan jadual perlawanan Sporting JAX menyaksikan kelab itu akan menentang Pittsburgh Riverhounds SC pada 16 Julai. Ini disusuli aksi berikutnya menentang Brooklyn FC pada 19 Julai.
Sementara itu, Cheng Hoe menyifatkan Kuzain sudah bersedia untuk menyertai kem Harimau Malaya. Selain faktor permainan beliau, bekas jurulatih Selangor FC itu turut melihat faktor komitmen sebagai sebab beliau memanggil bekas pemain Sporting Kansas City itu.
“Saya melihat Wan Kuzain sangat bersedia untuk datang balik. Untuk berkhidmat dan wakili skuad kebangsaan.Sudah tentu, kita juga memantau dari segi prestasi beliau.
“Dan sekarang dia walaupun bermain di liga kedua dekat AS (USL Championship) tetapi saya tengok komitmen dan juga permainan. Mungkin sedikit sebanyak bagi kita memberi peluang kepada beliau beraksi,” tambahnya.
Kuzain antara dua pemain yang berpangkalan di luar negara yang dipanggil Cheng Hoe untuk kempen ASEAN Hyundai Cup. Selain beliau, bekas jurulatih Kedah itu turut memanggil Hadi Fayyadh Abdul Razak yang berpangkalan di Jepun.
Seorang lagi pemain yang berpangkalan di luar negara, Richard Chin tidak dapat menyertai pasukan atas sebab yang tak dapat dielakkan. Lantas, Cheng Hoe memanggil pemain baharu Penang FC, Haqimi Azim Rosli sebagai pengganti.