Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail melabel dua penyerang Terengganu FC, Gervane Kastaneer dan Romel Morales sebagai ancaman utama pasukan itu.
Wan Rohaimi melihat Terengganu sebagai satu pasukan yang lengkap di setiap posisi termasuk di bahagian serangan. Dua nama yang menonjol pada pandangan beliau ialah Kastaneer dan Morales.
Kedua-dua pemain dipilih Wan Rohaimi disebabkan kualiti yang dimiliki mereka. Ini ditambah dengan Kastaneer beraksi di Piala Dunia bersama Curacao dan status Morales sebagai penyerang Harimau Malaya.
Justeru, Wan Rohaimi mahu anak buahnya kekal tenang bila diasak Peteh jika mahu mendapatkan keputusan positif di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
“Terengganu satu pasukan yang boleh dikatakan lengkap di setiap posisi. Mereka ada pemain yang beraksi di Piala Dunia, Kastaneer dan mereka juga ada penyerang berkualiti iaitu Romel Morales.
“Jadi, saya harap pemain-pemain saya dapat kendali keadaan dengan situasi yang tenang. Itu saja yang membezakan sekarang ini, tenang atau panik.
“Jadi, saya harap kemenangan pertama semalam (ke atas Melaka FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA) memberi ketenangan yang lebih tinggi kepada pemain kami untuk menghadapi Terengganu nanti,” katanya kepada Nadi Bola.
Penang berharap dapat mengelak kekalahan ketiga dalam liga selepas tewas dalam dua aksi sebelumnya. Sang Harimau Kumbang dan Peteh akan berentap di SSMZA pada Sabtu.