Warga Belanda berbicara tentang kehebatan pemain sayap Selangor, Alvin Fortes.
Baru-baru ini, dua orang warga Belanda iaitu Cas Verhoeven dan juga rakannya menghadiri aksi antara Selangor dan juga Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium MBPJ.
Beliau berkongsi pengalaman manisnya berada di Malaysia selain berkesempatan untuk turut menonton aksi antara dua kelab terbaik di Malaysia.
Dua individu ini memberikan sokongan kepada tuan rumah, Selangor namun terpaksa menelan hakikat apabila Gergasi Merah tunduk 3-0 kepada juara bertahan Liga Super itu di hadapan penyokong sendiri.
Warga Belanda ini bagaimanapun menanti penuh keterujaan untuk menyaksikan penampilan pemain sayap Selangor iaitu Alvin Fortes.
“Sebenarnya kami mahu menonton aksi seorang pemain iaitu Alvin Fortes. Beliau sebelum ini pernah beraksi di Liga Belanda.
“Kami sangat teruja untuk menyaksikan beliau beraksi kerana kami tahu tentang kelibatnya serba-sedikit,” katanya ketika ditemui MakanBola.
Tonggak kelahiran Belanda itu pernah beraksi bersama RKS Waalwijk, Vitesse, FC Oss dan beberapa kelab lain di Eropah.
Pada musim 2024/25, Alvin merupakan watak penting Selangor apabila menjaringkan 10 gol dan dua bantuan jaringan dalam semua kejohanan.
Kelibat Alvin sentiasa membayangi pertahanan lawan dan membentuk gandingan baik bersama Ronnie Fernandez dan juga Ali Olwan.