Masa hadapan penyerang warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado dikatakan oleh wartawan Amerika Selatan akan menjadi lebih menarik andai hukuman FIFA ditarik balik.
Rodrigo Holgado yang ketika ini menjalani penggantungan oleh FIFA, memberi bayangan ingin terus bermain selepas timbul ura-ura mendakwa penyerang berusia 30 tahun itu menimbang persaraan.
Dengan kontrak semasa Holgado bersama América de Cali dijangka bakal ditamatkan, keadaan ini membuka ruang kepada beberapa kemungkinan berhubung masa depan penyerang warisan negara ini.
Peluang itu bagaimanapun bergantung sepenuhnya kepada keputusan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perkongsian oleh wartawan bola sepak Amerika Selatan, Maestro Pichanguero, menyebut bahawa kontrak Holgado bersama América de Cali dijangka akan ditamatkan sekiranya hukuman FIFA ditarik balik di CAS.
Sebaik kontraknya ditamatkan, Holgado bakal memperkuat JDT sebagai sebahagian daripada pelan jangka masa panjang pasukan Harimau Selatan, yang dirancang kelab untuk tempoh beberapa musim akan datang.
“Saya dimaklumkan bahawa pihak Coquimbo Unido sedar sepenuhnya tentang keadaan ini dan sekiranya hukuman itu dibatalkan, pemain itu akan menamatkan kontrak bersama América de Cali, yang sepatutnya tamat pada penghujung 2026.”
“Selepas itu, pemain berkenaan bakal dibawa masuk oleh Johor (JDT) dari Malaysia dengan kontrak jangka panjang,” lapor Maestro Pichanguero dalam satu hantaran.
Keadaan menjadi lebih menarik apabila bekas kelab Holgado, Coquimbo Unido, dikatakan masih berminat untuk mendapatkan khidmat penyerang itu dengan kemungkinan kontrak pinjaman dalam tempoh tertentu.
“Kemudian, keadaan menjadi menarik kerana Coquimbo Unido mahu mendapatkan khidmat Holgado untuk menghadapi kempen Copa Libertadores, justeru pemain itu turut mempertimbangkan sebarang keputusan.”

“Sekiranya berlaku demikian, keutamaan pemain ini adalah untuk pulang ke kelab aurinegros menerusi pinjaman selama enam bulan hingga satu tahun,” tambah wartawan itu lagi.
Setakat yang dimaklumkan, laporan ini masih bersifat khabar angin dan tiada sebarang pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak, di mana semua senario bergantung sepenuhnya kepada keputusan rayuan di CAS.