Wartawan England telah menghamburkan pujian kepada pemain warisan Malaysia, Kobe Chong dan menyenaraikan 5 aset penting yang dimiliki oleh pemain ini.
Pemain berusia 22 tahun itu telah tiba di Malaysia beberapa hari yang lalu dan difahamkan sedang menjalankan rundingan dengan beberapa kelab Liga Super.
Beliau kali terakhir dikesan beraksi bersama kelab England, King’s Lynn dengan kontraknya difahamkan tamat pada 30 Jun 2024.
Ketibaan bekas pemain Cagliari ini telah membuka mata ramai pihak yang mahu melihat aksinya mewarnai kancah bola sepak Malaysia.
Perkembangan Kobe Chong meraih perhatian wartawan England, Tom Williams yang sudah mengikuti perkembangan pemain ini sejak beberapa tahun yang lalu.
Tom yang pernah menemu bual pemain itu menganggap bahawa Kobe merupakan seorang pemain yang amat istimewa di England.
“Saya menemu bual Kobe sebelum ini. Beliau seorang pemain yang sangat bersemangat. Beliau menghabiskan sebahagian besar kerjayanya di akademi pro, tetapi baru-baru ini berpindah ke non-league.
“Ini masih tahap yang sangat tinggi. Sebagai contoh, peringkat 1 adalah 95% profesional. Oldham berada dalam liga itu, dan mereka pernah menjadi kelab Liga Perdana sebelum ini.
“Kobe telah bermain pada peringkat 2 dan 3. Sebahagian besar pasukan adalah separuh masa, tetapi tahapnya sangat kuat,” ujar Tom ketika membalas pertanyaan pengulas Astro Arena, Aiman Roshizam.
Beliau juga menganggap tonggak tengah berbakat itu memiliki banyak kelebihan dan akan berjaya sekiranya beraksi di Malaysia.
“Kobe ialah pemain yang sangat kreatif. Beberapa lorongan bola yang dimainkannya adalah luar biasa. Beliau mempunyai visi yang baik dan suka mencipta peluang untuk rakan sepasukannya.
“Beliau juga sangat baik 1v1, dan boleh menamatkan juga. Saya fikir Kobe akan berjaya di Malaysia,” ujarnya.
Destinasi berikutnya buat Kobe Chong masih belum diketahui dengan beberapa kelab sudah mula dikaitkan untuk mendapatkan khidmatnya.