Wartawan Venezuela Dakwa Tonggak Imigresen Hampiri Selangor
MakanBola
Imigresen FC

Seorang wartawan sukan Venezuela mendakwa tonggak Imigresen FC dari negara itu, Eduardo Sosa semakin hampir menyertai Selangor FC.

Luis Edgardo Aguilar Angulo mendakwa pemain tengah berusia 29 tahun itu akan menyertai Selangor selepas semusim bersama The Mighty Tigers.

Apa yang menarik ialah Sosa bakal mengikut jejak dua bekas pemain import Amerika Selatan yang pernah beraksi untuk Selangor, Brian Fuentes dan Yohandry Orozco.

Peminat Selangor tidak pernah lupa bisa Fuentes sepanjang bersama pasukan itu selama tiga musim. Pada tahun 2005, gandingan beliau bersama Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy membantu Selangor meraih tiga trofi termasuk Piala Malaysia.

Sosa dan Fuentes memiliki persamaan kerana kedua-duanya pernah beraksi untuk kelab Venezuela, Zamora FC Barinas.

Selain Fuentes, Sosa turut mengikut jejak rakan senegara, Orozco. Bekas pemain perancang VfL Wolfsburg itu pernah mewakili Selangor selama dua musim dan membantu pasukan itu bergelar juara MFL Challenge Cup.

Sebelum ini, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi melaporkan Sosa akan menyertai Selangor untuk kempen musim depan.

Bekas pemain Columbus Crew itu membantu Imigresen menamatkan kempen Liga Super dalam kelompok enam pasukan teratas. Sosa turut menamatkan musim dengan 11 gol dan empat bantuan gol.