Pemain kebangsaan Indonesia, Witan Sulaeman berjaya menjadi wira AS Trencin selepas pemain muda itu meledak gol penyamaan untuk membolehkan pasukannya itu seri 1-1 dengan Liptovsky Mikula bagi saingan Liga Fortuna Slovakia.
Pemain sayap Indonesia itu memulakan perlawanan hanya di bangku simpanan dan beliau dimasukkan pada minit ke-68 sejurus selepas Liptovsky Mikula mendapatkan gol melalui Erin Jendrisek pada minit ke-67.
Peluang yang diberikan itu tidak disia-siakan oleh pemain sayap kelahiran Palu Indonesia itu. Witan yang diletakkan di posisi sayap kanan berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-83 hasil umpanan tepat Samuel Kozlovsky.
AS Trencin sebenarnya mampu mengakhiri perlawanan dengan kemenangan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung permainan. Namun penalti yang diambil oleh Rastislav Vaclavic itu berjaya diselamatkan penjaga gol, Michal Kukucha sekaligus mengakhiri perlawanan dengan keputusan 1-1.
Ternyata gol Witan telah menyelamatkan AS Trencin daripada kekalahan memalukan kepada pasukan tercorot liga, Liptovsky Mikula. AS Trencin kini kekal berada di tangga ke-6 liga dengan mengumpul 20 mata dan bakal menghadapi pusingan 16 terakhir Piala Slovakia pada 9 November ini berdepan Spartak Myjava.
Aksi Witan boleh ditonton di bawah.