Advertisement
Wolfsburg Bertapak Di Malaysia
Malaysia
MakanBola
VfL Wolfsburg

Kelab gergasi Bundesliga, VFL Wolfsburg kini mula melebarkan sayap ke rantau Asia Tenggara apabila memilih Malaysia sebagai rakan kerjasama strategik terbaru.

Perkara ini telah pun diumumkan dalam satu majlis pelancaran berkenaan pembukaan rasmi pejabat di Zon Asia di Menara Metrade, Kuala Lumpur.

Perkembangan itu menyaksikan kelab Jerman itu mahu mempromosikan program teknikal dan perniagaan ke perniagaan (B2b) berkaitan bola sepak di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif VfL Wolfsburg, Michael Meeske dalam satu kenyataan memberitahu bahawa pembukaan pejabat Kuala Lumpur ini membuka lembaran baharu berkaitan kerjasama dengan kelab Malaysia.

Pihaknya menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana pasukan di Malaysia dalam pembangunan bola sepak.

Beliau juga memberi bayangan bahawa akan membawa pasukan tersebut ke Malaysia untuk mengadakan aksi persahabatan.

“Kami mungkin akan membawa pasukan ke Malaysia untuk bekerjasama dengan pasukan lain di sini. Itu misi kami dalam bola sepak.”

“Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana pasukan, penaja, syarikat dan juga institusi,” jelasnya kepada Astro Arena.

Beliau yakin bahawa banyak manfaat yang bakal dibawa kepada kedua-dua pihak terutamanya dari segi tumpuan terhadap bola sepak kedua belah pihak.