Regu campuran utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei alami nasib sama seperti regu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dalam World Tour Finals (WTF) 2023.
Tang Jie dan Ee Wei tewas dalam aksi pembukaan Kumpulan A kategori regu campuran kepada pasangan China, Feng Yanzhe dan Huang Dongping.
Walaupun dibezakan empat anak tangga dari segi kedudukan ranking, Tang Jie-Ee Wei pernah menewaskan mereka sekali sebelum ini.
Set pertama menyaksikan Yanzhe dan Dongping ingin menebus kekalahan mereka di tangan regu negara.
Regu yang kini menduduki ranking keempat dunia itu mengawal tempo permainan sebelum menang dengan keputusan 21-10.
Tang Jie-Ee Wei cuba bangkit pada set kedua dan memberi tentangan kepada Yanzhe-Dongping pada kedudukan 11-10.
Juara Terbuka Korea 2023 itu tidak goyah dengan tentangan yang dipamerkan wakil negara. Yanzhe-Dongping kekal tenang sebelum meraih kemenangan straight set dengan keputusan 21-13.
Selepas ini, Tang Jie-Ee Wei perlu bangkit sekiranya ingin mencerahkan peluang layak ke separuh akhir WTF 2023.
Mereka akan turun menentang wakil Jepun, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino dalam aksi kedua Kumpulan A yang berlangsung esok.