Advertisement
Wrexham Jinakkan Ubi Muda Manchester United
EPL
MakanBola
Manchester United

Pendatang baru League Two, Wrexham mencipta kejutan dengan menewaskan skuad bawah 21 tahun (B-21) Manchester United 3-1 dalam aksi pra-musim di Stadium Snapdragon, San Diego hari ini.

Red Dragons yang lebih berpengalaman berbanding lawan mereka itu berada di hadapan menerusi tandukan bekas penyerang West Ham, Elliot Lee pada minit ke-29.

Skuad muda Red Devils yang dibimbing Travis Binnion terus ketinggalan pada minit ke-36 apabila bek tengah, Aaron Hayden mudah menanduk hantaran rakan sepasukan, Max Cleworth ke gawang mereka.

Tetapi bek kanan United dari Sepanyol, Marc Jurado merapatkan jurang pada minit akhir babak pertama bagi menjadikan keputusan 2-1.

Bersambung pada babak kedua, skuad muda Red Devils terus bernasib malang apabila Daniel Gore dilayangkan kad merah susulan kekasaran ke atas Andy Cannon.

Kelebihan ini dimanfaatkan anak-anak buah Phil Parkinson dengan pemain gantian, Sam Dalby menambah gol ketiga Wrexham pada minit ke-69.

Ini merupakan kekalahan pertama United dalam aksi pra-musim. Tetapi bagi pengurus skuad senior, Erik ten Hag, persembahan beberapa pemain semasa menentang Red Dragons bakal menentukan keputusan yang diambil beliau selepas ini.

Bagi Wrexham pula, ia satu kemenangan yang hebat yang mampu menyuntik moral mereka apabila League Two bermula pada 5 Ogos ini.