Selepas 15 tahun menghilang dari Liga Bolasepak Inggeris (EFL), Wrexham AFC akhirnya kembali ke EFL selepas bergelar juara National League (divisyen kelima bola sepak Inggeris) semalam. Ini selepas The Red Dragons mencatat kemenangan 3-1 ke atas lawan mereka, Boreham Wood.
Pada awalnya, penyokong di Racecourse Ground termasuk duo pemilik selebriti, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney cemas apabila pelawat mendahului pada minit pertama menerusi Lee Ndlovu. Tetapi dua gol yang disumbang Paul Mullin dan satu gol daripada Elliott Lee memastikan tuan rumah kembali ke League Two buat kali pertama sejak 2008.
Bagi Reynolds yang dikenali menerusi filem Deadpool, ia merupakan pencapaian hebat bukan saja untuk kelab tetapi bandar Wrexham itu sendiri. “Bandar ini dan sukan ini ialah salah satu perkara yang paling romantik di dunia ini,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Sebaik berita kembalinya Wrexham ke EFL tersebar di media sosial, ramai figura terkenal mengucapkan tahniah kepada kelab atas pencapaian mereka. Ini termasuk pewaris takhta United Kingdom merangkap Pengerusi Persatuan Bola Sepak (FA), Putera William.
“Tahniah Wrexham AFC! Sebuah kelab dengan sejarah yang hebat, tidak sabar melihat masa depan yang mengujakan kembali ke Liga Bolasepak. (Anda) membuatkan Wales bangga,” titah baginda dalam satu hantaran di media sosial.
Sejak diambil alih oleh duo selebriti Hollywood itu pada 2020, The Red Dragons tidak menoleh ke belakang dan berusaha untuk kembali ke EFL. Nama kelab itu juga semakin menonjol apabila menjadi subjek dokumentari terbitan Disney+, Welcome to Wrexham dengan siri dokumentari itu kini memasuki musim kedua.
Kehadiran Reynolds dan McElhenney bukan saja memulihkan kembali reputasi kelab bola sepak ketiga tertua di dunia itu. Malah, kehadiran duo berkenaan turut memberi kesan positif kepada komuniti tempatan dalam pelbagai aspek seperti perniagaan dan pelancongan.
“Saya fikir kita boleh dengar apa makna pencapaian ini kepada bandar ini dan itu yang paling penting untuk kami. Saya fikir ini satu detik katarsis dan keraian bagi mereka dan untuk dialu-alukan dalam komuniti mereka, untuk dialu-alukan menerusi pengalaman ini merupakan satu penghormatan dalam hidup saya,” kata McElhenney dalam temubual pasca-perlawanan bersama BT Sport.