Legenda Sepanyol, Xavi Hernandez mengakui tidak menolak jika ditawarkan peluang melatih pasukan kebangsaan terutama dari benua Asia.
Ini kerana pada hemat bekas pengendali Barcelona itu, ini akan membolehkan beliau meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
Xavi mengakui tiga anaknya termasuk Asia dan Dan masih kecil. Justeru, beliau melihat faktor masa dan keluarga perlu dipertimbangkan sebaik-baiknya jika mendapat tawaran mana-mana pasukan terutama skuad kebangsaan.
“Langkah saya seterusnya ialah skuad kebangsaan. Ia sesuai dengan saya dan saya mahukannya. Saya ada keluarga. Kelab tidak akan membenarkan memiliki banyak masa dengan keluarga. Saya ada anak-anak yang masih kecil.
“Saya berminat mengambil bahagian sebagai jurulatih dalam Piala Dunia, EURO (Kejohanan Bola Sepak Eropah), AFCON (Kejohanan Negara-Negara Afrika) dan Piala Asia,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
Sekiranya Xavi benar-benar mahu berbuat demikian, terdapat beberapa pasukan kebangsaan terutama dari Asia yang sedang mencari atau mempertimbang nasib jurulatih mereka.
Salah satu daripadanya ialah Korea Selatan. Kerusi panas pasukan gergasi Asia itu kosong apabila jurulatih, Hong Myung-bo meletak jawatan baru-baru ini.
Myung-bo berbuat demikian demi mengambil tanggungjawab kegagalan Pahlawan Taeguk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026.
Jepun juga berpotensi mencari pengganti jangka panjang untuk Hajime Moriyasu. Meskipun menandatangani kontak lanjutan selama enam bulan, Moriyasu akan meninggalkan Samurai Biru selepas tamat kempen Piala Asia 2027.
Uzbekistan pula dilaporkan sedang menimbang sama ada untuk memecat legenda Itali, Fabio Cannavaro atau sebaliknya. Ini selepas kempen sulung pasukan Asia Tengah itu dalam Piala Dunia berakhir dengan kekecewaan.
Xavi memiliki pengalaman di benua Asia. Sebelum melatih Barcelona dari 2021 hingga 2024, beliau pernah melatih kelab Qatar, Al-Sadd dari 2019 hingga 2021.