Xisco Munoz: Mereka Sedia Bermain
MakanBola
Johor Southern Tigers

Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mendedahkan sebab beliau memilih tiga pemain warisan beraksi dalam kesebelasan utama menentang Shan United.

Munoz membuat kejutan dengan menyenaraikan Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal dalam aksi terbaru Kumpulan B Shopee Cup.

Irazabal beraksi selama 45 minit sebelum digantikan oleh Syahmi Safari. Figueiredo dan Hevel pula beraksi selama 77 minit sebelum digantikan oleh Syamer Kutty Abba dan Nazmi Faiz Mansor.

Munoz memaklumkan pemilihan tiga pemain ini dibuat atas sebab mereka sudah bersedia untuk bermain.

Bekas jurulatih Watford itu turut menyifatkan Hevel, Figueiredo dan Irazabal menunjukkan prestasi baik meskipun tidak beraksi selama empat bulan.

“Mereka sedia untuk beraksi. Disebabkan oleh penggantungan (FIFA selama 12 bulan), mereka tidak boleh beraksi tetapi mereka sedia bermain.

“Mereka perlu bermain kerana ini membabitkan karier mereka dan mereka juga perlukan ritma permainan.

“Macam saya kata semalam, situasi sukar buat mereka kerana mereka lama tidak bermain. Tapi saya fikir mereka memberikan persembahan yang bagus,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

JDT menewaskan Shan United 3-0 dalam aksi berkenaan. Oscar Arribas dan Bergson da Silva masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Keputusan ini menyaksikan JDT berada di tempat kedua Kumpulan B dengan 10 mata. Ini selepas Thep Xanh Nam Dinh kembali sebagai pendahulu dengan 12 mata susulan kejayaan menewaskan Lion City Sailors (LCS) 3-0.